mutakhir

15 penagih ditahan ketika lalok

Oleh Nur Izzati Mohamad

SERAMAI 15 buruh ditahan polis dalam beberapa serbuan di daerah Seberang Perai Selatan ketika Op Tapis pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, semua lelaki ditahan itu berusia antara lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, ketika ditahan kebanyakan mereka sedang leka menghisap dadah dan berada dalam keadaan khayal.

"Daripada 15 ditahan itu, tujuh adalah penagih dadah tegar yang tidak serik mengulangi kesalahan sama.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah dadah jenis heroin seberat 471.9 gram (g) dan 4.7g syabu bernilai RM24,065," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39C akta sama.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 4:27pm
d