mutakhir

Tak mengaku rompak beg tangan wanita

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merompak beg tangan seorang wanita membabitkan kerugian RM500.

Tertuduh, Che Saifuddin Che Ibrahim, 33, dari Manir, Kuala Terengganu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman sebelum mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak harta Zainun Muda, 60, iaitu beg tangan mengandungi beberapa dokumen penting serta wang tunai RM500 di Jalan Pulau Bahagia, Manir, pada 1 tengah hari 21 Mac 2010.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 5:03pm
d