mutakhir

Tuntut pampasan sebab pencemaran sungai

Oleh Adnan Ibrahim

KIRA-kira 100 penduduk sembilan perkampungan Orang Asli dan tiga perkampungan Melayu yang bekerja sebagai nelayan darat menuntut pampasan daripada pihak yang menyebabkan pencemaran di Sungai Sembrong, baru-baru ini.

Tuntutan diminta kerana mereka hilang punca pendapatan untuk tempoh yang agak lama kerana banyak ikan seperti baung, lampam, jelawat, tapah serta udang galah bersaiz besar mati akibat pencemaran itu.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok Halim Jahari berkata, pihaknya mendapati banyak anak ikan dari jenis yang sama turut mati akibat pencemaran itu.

Katanya, pada 7 Jun lalu, akhbar ini melaporkan Jabatan Alam Sekitar Johor sudah menemui pihak yang disyaki menjadi penyumbang kepada pencemaran air Sungai Sembrong yang dikesan berlaku pada 1 Jun.

"Malah pihak berkenaan sudah mengenakan tindakan sewajarnya kepada premis terbabit mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Untuk itu, kami merasakan berhak mendapat sedikit pampasan sebagai menampung punca pendapatan keluarga yang terputus akibat daripada kejadian itu," katanya.

Menurutnya, walaupun keadaan air sungai berkenaan sudah kembali pulih namun hakikatnya mereka masih tidak boleh menangkap ikan.

"Ada nelayan cuba memasang jaring semalam namun hasilnya amat menghampakan malah kebanyakannya kosong tanpa ada seekor ikan yang sangkut walaupun dipasang selama dua malam.

"Jika keadaan seperti ini terus berlaku, macam mana kami nak membeli barang keperluan makanan harian sedangkan pekerjaan ini adalah punca utama pendapatan sebahagian penduduk Orang Asli," katanya.

Justeru, Halim berharap ada pihak yang sudi membantu pihaknya mendapatkan sedikit pampasan bagi membolehkan penduduk memperoleh gantian pendapatan akibat daripada pencemaran itu.

Berita berkaitan

Kilang sawit punca pencemaran Sungai Sembrong

Ribuan ikan, udang galah mati

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 5:12pm
d