mutakhir

Kedai gunting rambut patuh SOP

Oleh Mohamed Farid Noh

PENGUSAHA kedai gunting rambut di sekitar Johor Bahru mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) ketat bagi menyakinkan pelanggan mengenai langkah keselamatan yang diambil mereka.

Tinjauan di beberapa kedai gunting rambut di Tampoi dan Bandar Baru Uda hari ini mendapati tukang gunting dilihat mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dengan memakai penutup muka plastik, pelitup muka, sarung tangan dan apron plastik.

Pengusaha The Garage Barber & Co di Bandar Baru Uda, Shaiful Akmal Mohamad Hanis, 36, berkata, pihaknya mematuhi sepenuhnya SOP digariskan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga selain memberi keyakinan kepada pelanggan.

Katanya, pelanggan turut melihat dan bertanya apakah langkah keselamatan yang diambil sebelum bersetuju menggunakan perkhidmatannya.

"Alhamdulillah, sejak dibuka jam 11 pagi, sudah 10 pelanggan mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di sini selepas kedai kami ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, 18 Mac lalu.

"Di sini, hanya dua pelanggan dibenarkan masuk bagi setiap sesi gunting rambut dengan jarak kerusi lebih dua meter antara pelanggan.

"Tukang gunting kami pula perlu memakai penutup muka plastik dan pelitup muka sepanjang masa dengan sarung tangan pakai buang berbeza bagi setiap pelanggan manakala apron plastik dipakai pekerja diganti setiap tiga pelanggan.

"Namun apron plastik digunakan pelanggan pula akan dibuang selepas setiap pelanggan.

"Kami juga akan menyah cemar dan melakukan proses sanitasi setiap peralatan termasuk gunting, sikat, mesin rambut selain tempat duduk pelanggan setiap kali seorang pelanggan selesai menggunting rambut dan caj tambahan hanya RM2 dikenakan terhadap perkhidmatan kami, " katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perkhidmatan guntingan dan dandanan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi mulai hari ini dengan SOP yang ketat.

Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk pemakaian pelindung muka dan apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan dan jarak antara kerusi tukang gunting perlulah sekurang-kurangnya dua meter.

Pengusaha kedai gunting rambut turut diminta menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

Sementara itu, pelanggan yang ditemui, Zulhelmy Rehan, 33, berpuas hati dengan pematuhan SOP di kedai gunting rambut berkenaan.

"Mulanya risau juga kerana masih bimbang dengan wabak Covid-19, namun apabila melihat dan bertanya sendiri apa langkah keselamatan diambil, saya akhirnya yakin dan bersetuju memotong rambut di sini," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 5:26pm
d