mutakhir

Musim durian hutan berbunga di batang

Oleh Mohd Rafi Mamat

PELUANG melihat pokok durian hutan atau saintifiknya Durio Oxleyanus berbunga lebat di batang adalah satu pengalaman menarik dan menakjubkan.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Mohd Shokori Zainal Abidin, berkata selama 40 tahun bertugas, ini kali pertama dia melihat pokok berkenaan tumbuh subur di kawasan Hutan Ulu Temau, Dong, Raub, Isnin lalu.

Katanya, pokok berukuran batang 36 sentimeter dan tinggi kira-kira 20 meter itu dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun dan difahamkan ini kali pertama pokok berkenaan mengeluarkan bunga lebat pada batang.

"Saya seolah-olah tidak percaya melihat pokok durian hutan berkenaan yang begitu subur, hanya terdapat sepokok sahaja di kawasan hutan terbabit.

"Di peringkat awal penemuan, saya agak keliru kerana ia mempunyai ciri hampir sama dengan pokok mempisang yang banyak terdapat di hutan negara ini," katanya.

Mohd Shokori berkata, pokok durian hutan kini semakin sukar ditemui di hutan di Pahang berikutan aktiviti pembalakan menjadi antara faktor pokok berkenaan hampir pupus.

Beliau yang akan bersara pilihan dua minggu lagi berkata, buah durian hutan boleh dimakan walaupun saiznya kecil berbanding durian kampung dan klon manakala rasanya dikatakan berbeza selain mempunyai bau kurang menarik.

"Saya pernah mendengar cerita orang tua mendakwa buah durian hutan menjadi kegemaran gajah selain binatang liar lain seperti kera, tupai dan beruang.

"Durinya halus dan tajam menyebabkan ia agak sukar untuk dimakan, masyarakat Orang Asli sering bertemu dengan pokok berkenaan di hutan," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 5:31pm
d