mutakhir

Bekalan darah diperlukan secara berterusan [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

RAKYAT Malaysia digalakkan untuk terus konsisten menderma darah bagi menampung keperluan semasa di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini jumlah darah di Pusat Darah Negara masih mencukupi, namun bekalan perlu dipastikan sentiasa ada.

Menurutnya, jika dibandingkan ketika Ramadan, bekalan darah mengalami kekurangan bekalan, namun kini masalah itu dapat diatasi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menderma darah yang dianggap sebagai amalan mulia kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

"Setakat ini bekalan darah mencukupi tapi keperluan darah sentiasa diperlukan setiap minggu dan bulan.

"Kita perlu penderma yang konsisten untuk menampung keperluan darah," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Beliau melahirkan kebimbangan kemungkinan bekalan darah mungkin akan terjejas susulan pertambahan jumlah kemalangan apabila jumlah kenderaan mulai bertambah berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sebelum ini, bekalan darah di Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara berkurangan 40 peratus sejak PKP dikuatkuasakan.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 6:27pm
d