mutakhir

23 lembu mati dipanah petir

Oleh Nurul Amanina Suhaini

"SAYA terkejut melihat lembu itu mati bergelimpangan," kata pengusaha ternakan lembu, Yusman Md Yousof, 38.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira 7 pagi semalam ketika menjalankan rutin harian melihat ternakannya di ladang sawit di FELDA Aping Timur, dekat Kota Tinggi, yang dijaga secara ternak lepas.

"Pagi itu, saya ada bungkus makanan untuk bersarapan di ladang sawit. Ketika itu, jarak saya dengan lokasi kejadian (tempat lembu mati) kira-kira 300 meter.

"Datang sekumpulan lembu yang saya bela menghampiri dan mengeluarkan bunyi bising seolah-olah seperti ada yang tidak kena. Kemudiannya, saya jumpa ada lembu mati bergelimpangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusman berkata, 23 ekor lembu mati, termasuk enam daripadanya lembu jantan dan tujuh lembu betina berusia dua hingga lapan tahun.

"Secara keseluruhannya, saya bela 49 ekor lembu. Anggaran kerugian saya alami kira-kira RM46,000," katanya.

Yusman yang mula menternak lembu sejak berumur 17 tahun itu berkata, kejadian berkenaan pertama kali berlaku kepada dirinya.

"Selepas melihat keadaan lembu itu saya membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Tanjung Sedili dan turut melaporkan kepada Pejabat Veterinar Daerah Kota Tinggi.

"Pegawai Penyiasat veterinar datang menjalankan siasatan dan dimaklumkan lembu saya dipercayai kena panah petir.

"Ia dipercayai berlaku disebabkan bencana alam, bukan akibat terkena racun berikutan tiada kesan fizikal pada anggota badan lembu seperti mulut berbuih dan sebagainya.

"Mengikut keadaan lembu saya juga, dimaklumkan berlaku malam kelmarin (8 Jun). Memang pada malam itu kawasan FELDA ini hujan lebat dan ada ribut," katanya.

Terdahulu, tular gambar beberapa ekor lembu mati di kawasan ladang menerusi laman sosial Facebook (FB) bersama kenyataan dimuat naik tertulis kejadian di Felda Aping Timur punca kematian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor Dr Aida Muhid mengesahkan kejadian berkenaan.

"Staf PVD Kota (Pejabat Veterinar Daerah Kota Tinggi) dah buat siasatan. Saya sedang tunggu laporannya," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 6:52pm
d