mutakhir

Merosot hingga 80 peratus

Oleh Yusmizal Dolah Aling

MEROSOT 70 hingga 80 peratus. Itu hasil tinjauan kesan pengoperasian francais dan jualan langsung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kesan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, penurunan tertinggi yang dilaporkan adalah dari subsektor makanan dan minuman serta pendidikan.

Katanya, kekurangan pekerja, bahan mentah disebabkan masalah logistik dan kos operasi yang terpaksa ditanggung seperti bayaran sewa serta utiliti adalah cabaran dhadapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti beberapa inisiatif bertujuan merangsang aktiviti peruncitan dalam negeri bagi meningkatkan keyakinan pengguna berbelanja.

"Keterlibatan pemain industri ditagih bagi memberi sokongan dan pandangan dalam sesi libat urus yang akan dilaksanakan.

"Wujud keperluan untuk sektor industri dan kerajaan bekerjasama dalam mengenal pasti langkah baharu serta prosedur operasi standard yang wajar dipatuhi bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi semula dengan selamat," katanya.

"Program interaktif secara atas talian seperti sesi pada hari ini juga akan diperbanyak bagi menggalakkan perbincangan secara maya melalui penyaluran maklumat dan perkongsian ilmu bagi memperkasakan perniagaan francais," katanya pada Program Webinar: Pengurusan Krisis Francais Semasa PKPB, di sini, hari ini.

Program itu disertai 213 peserta menggunakan aplikasi Zoom menampilkan Hsein Naidu, Wong Jin Nee, Wan Arjunawan dan Kairul Azman sebagai panelis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 9:12pm
    d