mutakhir

Dua maut terbabit kemalangan kereta dan lori

Oleh Adnan Ibrahim

DUA individu maut dan seorang cedera parah selepas sebuah kereta dan lori tangki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Ayer Hitam-Johor Bahru, Kulai pada jam 12.53 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa yang maut adalah pemandu kereta Proton Saga, Mohamad Nor Fahmi Suparto, 27, dan penumpang wanita, Amidah Khamis, 53, manakala seorang penumpang lelaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan berusia 27 tahun cedera parah di kepala.

Katanya, kemalangan berlaku apabila Proton Saga yang dalam perjalanan dari arah Kulai ke Pekan Simpang Renggam secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebaik sampai di lokasi kejadian.

"Kejadian itu menyebabkan Proton Saga berkenaan bergesel dengan sebuah lori tangki dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pergeselan itu, kereta dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok menyebabkan pemandu serta penumpang wanita tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya dalam kenyataan media, hari ini

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

"Semua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Kulai.

"Pemandu lori tangki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 9:23pm
d