mutakhir

Perlis benar warga asing ke masjid

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERLIS memberi kelonggaran kepada warga asing berstatus pemastautin tetap untuk hadir bersolat jemaah di masjid dan surau negeri itu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan berkata, mereka mestikan jemaah istiqamah ke masjid dan tertakluk syarat ditetapkan.

"Bagi warga asing yang tinggal di rumah kongsi, rumah kedai atau di kediaman yang sukar melaksanakan penjarakan sosial, kehadiran ke masjid hendaklah ditangguhkan terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan ahli jawatankuasa kariah yang berusia lebih 60 tahun, Hazman berkata, mereka turut dibenarkan ke masjid namun secara bersyarat.

"Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan mereka (berusia lebih 60 tahun) jika sihat tubuh badan dan tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema hadir melaksanakan tugas pada solat Jumaat ditetapkan jadual.

"Namun kebenaran itu tidak merangkumi penyertaan mereka untuk bersolat Jumaat di luar waktu bertugas," katanya.

Hazman berharap ahli jawatankuasa kariah dapat mengambil langkah proaktif mengembalikan syiar Islam dan berusaha menangani wabak Covid-19.

Sebelum ini, Perlis, membenarkan penambahan bilangan jemaah mengikut keluasan maksimum kapasiti masjid bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun aktiviti lain di masjid seperti ceramah dan kuliah masih belum boleh dibenarkan dan hanya akan dilaksanakan secara dalam talian oleh JAIPs.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 8:44am
    d