mutakhir

Covid-19: Jenazah rakyat Malaysia selamat dikebumikan di Qatar

Oleh Suraya Roslan

JENAZAH rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Qatar selamat dikebumikan semalam.

Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh, 52, berasal dari Besut, Terengganu disahkan meninggal dunia di Hamad Medical Centre, Doha, pada jam 11 pagi waktu tempatan (jam 4 petang waktu Malaysia), semalam.

Perkara itu dikongsi Kedutaan Besar Malaysia di Qatar menerusi akaun Facebook rasminya.

"Dengan penuh rasa sayu pihak kedutaan, hospital dan berkuasa tempatan selesai menjalankan pengebumian Allahyarham Tengku Endut saudara kita sebelum masuk waktu Maghrib (semalam).

"Pengurusan jenazah ini perlu melalui beberapa proses yang agak ketat dan berbeza namun ia berjalan dengan lancar dan baik," katanya.

Menurutnya, memandangkan pihak kedutaan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan atas prosedur itu, solat jenazah dan pengebumian dilakukan hospital, pihak berkuasa tempatan, pegawai kedutaan dan beberapa wakil rakyat Malaysia.

"Kedutaan mengucapkan penghargaan di atas mesej takziah dan pertanyaan serta memohon supaya kita sama-sama mendoakan kebaikan buat Allahyarham.

"Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang dikasihi dan dimuliakan di alam sana," katanya.

Allahyarham Tengku Endut yang berasal dari Kampung Air Tawar, Besut bekerja sebagai jurutera di Qatar Airways sejak hampir empat tahun lalu.

Allahyarham juga pernah berkhidmat di Malaysia Airlines sebelum menyertai Qatar Airways.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 11:45am
    d