mutakhir

Bangunan sekolah rosak dihempap tiga pokok

Oleh Ramli Ibrahim

SEBAHAGIAN bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai dekat Gua Musang rosak akibat dihempap tiga pokok yang tumbang dalam kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, pokok itu menghempap bumbung lorong pejalan kaki selain berlaku kerosakan di bahagian tepi dua bangunan akibat dihempap dua lagi pokok tumbang.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Azuri Hamzah berkata, beliau mengarahkan kerja pembersihan dilakukan segera.

Azuri berkata, tiga pokok terbabit berada dalam kawasan sekolah sejak puluhan tahun lalu dan ia tumbang serentak akibat ribut.

Beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan beberapa pokok besar lain yang berada dalam kawasan sekolah segera ditebang.

Katanya, ini kerana pihak PPD bimbang dengan keselamatan murid, guru dan ibu bapa.

"Saya melihat pokok yang masih ada itu tidak selamat dan mungkin tumbang apabila dilanda ribut kuat seperti petang semalam," katanya.

Beliau berkata, bangunan sekolah yang mengalami kerosakan akan dibaiki segera sebelum dibuka nanti.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 12:03pm
d