mutakhir

Didenda RM2,200 tipu jual pelitup muka

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEORANG lelaki didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini selepas mengaku bersalah menipu dalam penjualan pelitup muka.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhi hukuman ke atas Nor Azri Rosli, 34, dari Bandar Seri Jempol selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada jam 12.13 tengah hari, 10 April lalu dengan curangnya menyembunyikan RM850 milik B Suganthi, 27, yang dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh.

Oleh itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Fauzi Md Yasin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 3:53pm
d