mutakhir

JMB, pemilik berhak minta kontraktor jalani saringan Covid-19

Oleh Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

JAWATANKUASA pengurusan bersama (JMB) kediaman berstrata, pengurusan kawalan keselamatan perumahan teres atau banglo dan pemilik bersendirian berhak meminta kontraktor supaya lakukan ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan virus itu adalah langkah pencegahan untuk menjamin keselamatan lokaliti berkenaan sebelum sebarang kerja dibenarkan untuk dilaksanakan kontraktor seperti kerja ubah suai.

Namun, bagi pihak kerajaan, katanya, yang wajib menjalani saringan Covid-19 termasuk ujian calitan tekak atau 'swab test' adalah pekerja warga asing di bidang pembinaan.

"Kawasan penempatan yang diuruskan oleh syarikat pengurusan, kalau pihaknya nak menjaga kesihatan atau keselamatan penduduk maka berhak untuk meminta kontraktor supaya diadakan swab test. Terserah kepada pihak pengurusan itu.

"Sama juga individu. Mungkin saya minta supaya kontraktor ubahsuai rumah saya dan saya minta supaya mereka membuat swab test. Itu adalah antara saya dan kontraktor itu.

"Kalau kontraktor itu tak setuju, maka tidak adalah ubahsuai dilakukan di rumah saya sebagai contoh tadi. Kita sudah hadapi kluster Covid-19 yang membabitkan pekerja pembinaan, ini adalah langkah keselamatan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, saringan Covid-19 itu adalah kontrak atau hubungan antara tuan rumah dengan kontraktor begitu juga syarikat menguruskan atau JMB sesuatu penempatan.

Katanya, setiap pihak berhak dan bertanggungjawab melindungi diri serta kawasan sekitarnya daripada penularan virus Covid-19.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 5:10pm
d