mutakhir

Ini satu nikmat dan tanda kemenangan [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling

SYUKUR dan perlu ambil peluang. Perasaan itu dikongsikan beberapa pendakwah bebas tanah air susulan kebenaran untuk mengadakan kuliah Maghrib dan Subuh di masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan.

Menyifatkan ia sebagai nikmat dan tanda kemenangan, mereka mengajak umat Islam untuk menggunakan kesempatan yang ada dengan menghadiri majlis ilmu berkenaan.

Bagi Ustaz Haslin Baharin, dia bersyukur kerana selepas tiga bulan, masjid boleh diimarahkan dengan program pengajian seperti mana sebelum ini.

Katanya, peluang itu perlu direbut umat Islam yang tidak dapat ke masjid dan menghadiri kuliah sebelum ini ekoran penularan wabak Covid-19.

"Ini petanda yang baik. Masjid dan surau sudah dibuka secara berperingkat dan kuliah ilmu juga sudah boleh diadakan.

"Seharusnya kita bersyukur sangat-sangat dan mengambil peluang ini sebaik mungkin," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi pendakwah Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, dengan ruang itu masjid perlu memainkan peranan untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

"Ini masanya untuk kita cari barakah dalam majlis ilmu. Sebelum ini dalam masa tiga bulan, kita hanya berkuliah secara online, ia tidak sama. Di masjid ada barakahnya," katanya.

Seorang lagi pendakwah Prof Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, biarpun jumlah terhad, masyarakat Islam seharusnya mengambil peluang untuk berada di dalam masjid bersolat jemaah dan menghadiri kuliah, sesuatu yang tidak dapat dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Katanya, menjadi impian umat Islam untuk berada di masjid sejak PKP dilaksanakan, dan inilah masanya untuk mereka buktikan rasa sayang dan cinta pada agama.

"Setiap hari ada yang meratap di media sosial sebab tak dapat ke masjid. Jadi inilah masanya, gunakan betul-betul peluang untuk berada di rumah Allah SWT dengan normal baharu," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 5:46pm
d