mutakhir

KKM hargai pengamal media [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media yang bekerja keras dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat berhubung perkembangan terkini Covid-19 kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bukan hanya wartawan malah jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio misalnya penyunting, juruberita, petugas media sosial dan jurubahasa isyarat memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai situasi sebenar.

Beliau turut memuji warganet yang menjalankan tanggungjawab sosial dalam memuat naik dan menyebarkan maklumat tepat.

"KKM mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dalam bidang kewartawanan dalam menyampaikan situasi sebenar kepada masyarakat.

"Penggunaan media sosial juga semakin meluas dan kewartawanan konvensional bukan semata-mata kaedah sebaran maklumat kerana pengguna media sosial juga ibarat wartawan, 24 ,tujuh hari seminggu dan ini dinamakan konsep 'citizen journalism' (kewartawanan masyarakat).

"Namun, terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab dan menyebarkan maklumat palsu, fitnah dan menghasut orang ramai supaya tidak akur dengan nasihat diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak sebanyak 330 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu sudah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

"Seperti dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), sebanyak 266 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 setakat hari ini.

"Tiga puluh kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 mengaku bersalah.

"Tahniah diucapkan kepada PDRM dan SKMM yang terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 6:27pm
    d