mutakhir

Larangan pembukaan bazar di Johor

Oleh Omar Ahmad

BAZAR seperti Pasar Karat Johor masih belum dibenarkan beroperasi sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor, Ayub Jamil berkata kerajaan negeri menerusi perbincangan bersama 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersetuju dengan keputusan itu.

Menurutnya, hal itu diputuskan kerana penganjuran bazar seperti itu dilihat sebagai acara himpunan awam, mempunyai kunjungan orang ramai dan membabitkan jumlah peniaga yang ramai.

"PBT akan menilai dahulu tahap kawalan dan pelaksanaan semua pasar pagi dan pasar malam dahulu sebelum membuat keputusan membuka bazar.

"Terdapat juga PBT yang akan membuka pasar pagi dan pasar malam di kawasan mereka selepas 15 Jun dan perkara itu dibenarkan bagi memberi peluang kepada mereka meneliti dan berbincang dahulu dengan pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, mesyuarat memutuskan tempoh operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi adalah dari 6 pagi hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 10 malam bagi pasar malam," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Menurut Ayub, garis panduan diberikan untuk pembukaan pasar pagi dan pasar malam adalah ia mestilah dibuka di kawasan bersesuaian, lapang dan juga berpagar untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekiranya kawasan penganjuran pasar itu tidak mempunyai pagar, PBT perlu memastikan ia mempunyai hadangan seperti menggunakan tiang atau ditanda dengan pita.

"Penjarakan antara setiap gerai yang ditetapkan adalah 1.5 meter atau 2 meter. Pasar juga dibuka dengan hanya mempunyai laluan keluar masuk secara sehala, kemas, tidak sesak dan sempit.

"Proses urusniaga jualan juga hanya dijalankan secara belian terus dan tidak berlengah," katanya.

Memperincikan secara lanjut, Ayub berkata bagi pasar yang mempunyai jumlah peniaga ramai, PBT akan menggunakan konsep penggiliran lot berniaga untuk mengurangkan jumlah gerai sekali gus memastikan kawasan pasar kekal sistematik.

Katanya pembeli dan peniaga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki kawasan pasar dan dikehendaki memakai pelitup muka, sarung tangan (khusus untuk peniaga) sepanjang masa ketika berada dalam kawasan pasar ini.

"Warga emas, kanak-kanak dan golongan berisiko tinggi adalah tidak digalakkan untuk mengunjungi pasar ini.

"Pendaftaran membabitkan peniaga atau pengunjung dengan aplikasi MySejahtera atau Jejak Johor atau QR Code atau diisi secara manual juga perlu dibuat bagi membolehkan pihak KKM menjejaki kontak rapat," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 6:48pm
d