mutakhir

Hubungi TNB CareLine untuk maklumat bil

Oleh Mahaizura Abd Malik

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengesahkan amaun bil seorang pengguna untuk tempoh April, Mei dan Jun meningkat 120 peratus saja setiap bulan bukan 600 peratus seperti ditularkan.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman berkata, pihak TNB memahami perasaan pengguna berkenaan yang terkejut menerima pelarasan bil dengan jumlah yang lebih daripada kebiasaan.

"Pegawai kami sudah menemui beliau semalam (10 Jun 2020).

" Pertemuan itu membuka peluang untuk kami memberikan penjelasan mengenai isu yang diutarakan. Kami juga berterima kasih atas pandangan dikongsikan.

" Kami sudah menyemak bil itu dan mendapati terdapat salah faham mengenai pengiraan bil. Amaun bil untuk bulan April, Mei dan Jun meningkat 120 peratus saja setiap bulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada satu perkongsian yang tular di media sosial daripada seorang pengguna yang mendakwa menerima pelarasan bil dengan kenaikan 600 peratus.

Katanya, ketika pertemuan itu, pengguna diberi penjelasan oleh pegawai TNB tentang kaedah pengiraan bil melalui kaedah prorata bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan jumlah bil yang tinggi.

"Sebagai syarikat yang dikawal selia Suruhanjaya Tenaga (ST), kami tertakluk kepada syarat lesen yang diberikan termasuk tidak menggunakan kaedah pengiraan bil sewenang-wenangnya.

"Kaedah ini mendapat kelulusan ST dan ia bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan jumlah bil yang melampau," katanya.

Beliau turut mengulangi saranan supaya pengguna yang terkesan dengan pelarasan bil semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghubungi TNB untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Gunakanlah saluran yang sesuai untuk mendapat maklumat tepat.

"Pegawai khidmat pelanggan kami sentiasa bersedia memberikan penjelasan.

"Hubungi kami di TNB CareLine di talian 1300 88 5454 atau facebook TNB CareLine atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 6:58pm
d