mutakhir

Imbas kod QR untuk daftar solat Jumaat

Oleh Mohd Roji Kawi

LEMBAGA Amanah Masjid-Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) mewajibkan umat Islam yang berhasrat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri dan Masjid Bandaraya Kuching, esok supaya mengimbas kod QR bagi tujuan pendaftaran.

Jurucakap LAKMNS dalam kenyataan hari ini berkata, mereka yang ingin menunaikan solat Jumaat di kedua-dua masjid berkenaan boleh mengimbas kod QR di laman Facebook rasmi lembaga itu.

Menurutnya, peraturan itu dibuat berikutan jumlah jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak hanya 100 orang dan Masjid Bandaraya Kuching pula dihadkan 50 orang.

"Kod QR yang disediakan itu bagi mengisi 'google form' untuk menyatakan hasrat anda menghadiri solat Jumaat esok di mana pemilihan jemaah akan dibuat secara siapa cepat dia dapat.

"Setiap permohonan juga akan disaring dan melihat tahap kesihatan jemaah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jemaah yang terpilih akan dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Jemaah yang berjaya mendaftar dan terpilih untuk menghadiri solat Jumaat di dua masjid utama itu perlu hadir ke masjid dalam tempoh satu jam atau selewat-lewatnya 15 minit sebelum azan Zohor," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 7:05pm
d