mutakhir

85 selamat kembali ke tanah air

Oleh Rafiqah Dahali

SERAMAI 85 individu yang terkandas di Filipina hampir tiga bulan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua petang ini.

Mereka terdiri daripada 81 orang rakyat Sabah termasuk empat orang pasangan mereka yang mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang yang dibenarkan masuk ke Sabah.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha HabibYussof berkata usaha membawa balik itu adalah dengan kerjasama beberapa pihak.

"Usaha ini diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN), Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sabah serta beberapa agensi berkaitan.

"Kesemua mereka terkandas hampir tiga bulan di Filipina apabila negara berkenaan menguatkuasakan dasar perintah berkurung termasuk menutup pintu keluar masuk negara berikutan ancaman wabak Covid-19 sejak Mac lalu," katanya.

Menurutnya, atas faktor keselamatan mereka yang terkandas, kerajaan Malaysia melalui KLN berunding dengan kerajaan Filipina untuk membawa mereka keluar dari negara berkenaan.

"Kerajaan Filipina akhirnya bersetuju untuk membenarkan repatriasi ini dilaksanakan pada hari ini dengan menggunakan pesawat C130 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Semua mereka diarah menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin. Ini bagi memudahkan pemantauan kesihatan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan untuk mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 7:35pm
d