mutakhir

Jumlah kenderaan memasuki Terengganu bertambah

Oleh Zaid Salim

ALIRAN trafik di Terengganu dijangka sesak berikutan orang ramai mengambil peluang kebenaran rentas negeri menerusi Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk pulang ke kampung pada hujung minggu ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menjangkakan 25,000 hingga 30,000 kenderaan dijangka masuk ke negeri ini pada Sabtu dan Ahad ini.

"Kita masih lagi dalam 'mood' hari raya, jadi peluang ini diambil orang ramai khususnya perantau yang sebelum ini tidak pulang beraya kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengambil kesempatan ini pulang berhari raya bersama keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu dipercayai menyebabkan aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 bermula Jabor hingga ke Plaza Tol Kuala Terengganu mengalami sedikit kesesakan.

Beliau berkata, bagi memastikan aliran trafik sepanjang lebuh raya itu lancar, pihaknya akan melakukan rondaan secara berkala termasuk pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua kawasan Rawat dan Rehat (RnR) di sepanjang lebuh raya berkenaan.

"Menerusi PKPP, semua aktiviti dan premis seperti kedai makan, masjid dan surau dibenarkan beroperasi tetapi orang ramai masih terikat dengan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti memakai pelitup hidung dan mulut jika berada di tempat awam atau bergejala, melakukan penjarakan sosial dan memeriksa suhu badan.

"Polis Terengganu menubuhkan 60 pasukan task force membabitkan polis dan angkatan tentera bagi melakukan pemantauan dan pemeriksaan di semua RnR yang beroperasi di sepanjang LPT2 bagi memastikan pengguna lebuh raya dan pemilik premis makanan mematuhi SOP.

"Kegagalan mematuhi SOP boleh dikenakan kompaun RM1,000," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pasukan task force juga akan melakukan pemantauan secara berkala di kawasan taman rekreasi dan tumpuan, pusat beli-belah serta premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP antaranya aktiviti kolam renang, pusat karaoke dan pub di seluruh negeri ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuroh, Kuala Nerus mendapati bilangan kenderaan yang masuk ke negeri ini semakin bertambah berbanding semalam.

Aliran trafik masuk dan keluar lancar di sebelah pagi hingga tengahari, namun bilangan kenderaan semakin bertambah menjelang lewat petang.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 8:37pm
d