mutakhir

Teruja terima kehadiran pelajar semula

Oleh Malik Muhamad

MENJELANG sesi persekolahan pasca Covid-19 yang akan dibuka pada 24 Jun ini, warga Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit (SMKBR) Kuala Nerus sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelajar.

Pengetuanya, Mohd Nasri Abdullah berkata, rangka kerja sudah dilakukan bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah dalam keadaan selamat dan ceria untuk menuntut ilmu tanpa ada perasaan bimbang penularan pandemik itu.

"Gerak kerja juga sudah bermula pada minggu lepas dengan kira-kira 60 peratus selesai, Insya-Allah sebelum buka sekolah nanti kita akan selesai sepenuhnya bagi menerima kehadiran 119 pelajar Tingkatan Lima.

"Bagi memastikan penjarakan sosial berlaku di dalam kelas, kita akan sediakan enam kelas dengan kawalan guru bertugas termasuk ketika waktu rehat kerana pelajar akan makan di dalam kelas dan tidak dibenarkan makan di kantin," katanya ketika ditemui, hari ini.

Guru sekolah berkenaan, Rosanita Ibrahim berkata, beliau sudah bersedia untuk mengajar selepas hampir tiga bulan mengajar melalui dalam talian.

"Sebelum ini kita sudah lakukan pengajaran secara dalam talian dan dengan pembukaan sekolah nanti kami warga guru tidak sabar untuk mengajar secara bersemuka seperti sebelum ini dan saya sendiri akan fokus kepada mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 11:23pm
d