mutakhir

Polis lumpuhkan sindiket seludup rokok di Batu Pahat

Oleh Redzuan Muharam

POLIS merampas 1800 karton rokok seludup dan tiga kenderaan dengan nilai rampasan dianggarkan RM427,160 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bindu, Tongkang Pecah, Batu Pahat, 12.30 tengah hari ini.

Serbuan menerusi Op Benteng Covid itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dibantu oleh Cawangan Risik Batalion 5 PGA.

Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 49 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Hasil rampasan bersamaan dengan 360,000 batang rokok yang dipercayai rokok yang diseludup.

"Turut dirampas tiga kenderaan yang digunakan untuk mengedar rokok seludup," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Muhammad, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Serbuan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tanpa cukai di sekitar Batu Pahat.

"Polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 12:03am
d