mutakhir

Galak tanaman impak tinggi

Oleh Roselan Ab Malek

KERAJAAN Pahang menggalakkan petani meneroka dan mengusahakan tanaman baharu yang mempunyai impak tinggi walaupun ditanam di kawasan yang tidak luas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd SoffiAbd Razak berkata, petani khususnya golongan muda perlu berani meneroka bidang baru yang berpotensi.

Katanya, pada masa ini tanaman nanas MD 2 dan vanilla sesuai dikomersialkan kerana tidak perlu kawasan luas, namun memberi pulangan lumayan dalam jangka masa cepat berbanding kelapa sawit atau durian musang king.

"Sebagai contoh 0.4 hektar tanah boleh menanam kira kira 15,000 pokoknanas MD2 dan boleh dituai dalam jangkamasa satu setengah tahun.

"Malah nanas MD2 mendapat sambutan menggalakkan daripada pasaran tempatan dan eksport kerana rasanya yang sedap dan manis," katanya.

Beliau berkata, tanaman vanilla turutberpotensi tinggi kerana banyak digunakan dalam industri makanan dunia, boleh ditanam dalam kawasan yang tidak luas malah boleh diintegrasikan dengan tanaman lain.

Katanya, hasilnya boleh diperolehi dalam jangka masa dua ke tiga tahun dan harga vanilla kering boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 sekilogrammengikut gred.

Mohd Soffi berkata, potensi tanaman vanilla itu dibuktikan oleh seorang anak muda di kampung Bangau Parit, Temerloh.

Katanya dalam masa yang sama, kerajaan negeri Pahang akan kembali merancakkan sektor agro makanan selepas negara kini berada dalam fasa pemulihan Covid-19.

Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Pertanian termasuk Agrobank perlu bergerak aktif termasuk memperkasakan lagi pinjaman secara mikro serta geran kepada usahawan muda atauagropreneur muda.

"Ia merupakan satu galakan untuk golongan muda melibatkan diri dalam sektor ini di mana apabila pihak kementerian pertanian bersedia menyediakan kemudahan pinjaman, kerajaan negeri pula akan sediakan tapak yang bersesuaian untuk aktiviti pertanian.

"Kemudian kita ada wakil kerajaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengambilan Tanah (JKPT) di mana mesyuarat tersebut dapat kenal pasti kawasan tanah yang boleh dikeluarkan lesen pendudukan sementara agar dapat diusahakan segera.

"Jika petani itu berjaya, boleh diusahakan untuk proses pemilikan," katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke projek tanaman nanas MD2 Sungai Gau dan Amani Vanilla Temerloh, di Kampung Bangau Parit, Temerloh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Haji Mohd Sharkar Shamsudin; Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin; Pengarah Pertanian Pahang, Mohd Nazri Abu Seman; dan Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Pahang, Muhammad Fauzan Mohd.

Dalam pada itu, Mohd Soffi berkata, kerajaan negeri akan menjadikan Pahang sebagai hub pengeluar utama hasil pertanian seperti buahan dan sayur-sayuran di negara ini.

"Bagi mencapai hasrat itu juga, saya meminta Pengarah Pertanian mengenal pasti tanah rizab pertanian yang terbiar atau diceroboh untuk aktiviti pertanian.

"Kali ini kita nak pastikan tanah-tanah rizab ini dimanfaat mengikut perancangan dan akan mempelawa usahawan yang berminat untuk menjayakan projek penanaman hasil pertanian selaras dengan rangka pelan tindakan ekonomi negeri pasca Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 12:02pm
d