mutakhir

Ops Benteng tahan 59 PATI di Rompin

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS Daerah Jempol menahan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Benteng di sekitar Rompin hari ini.

PATI terbabit terdiri 30 warga Indonesia, 20 Bangladesh dan sembilan warga India.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, operasi dijalankan dari jam 10.30 malam tadi dan berakhir jam 5.30 pagi ini.

Katanya, penugasan Op Benteng membabitkan 38 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

"Tujuan operasi bagi membanteras kebanjiran PATI selain mengekang penularan wabak Covid-19 membabitkan warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah.

"Siasatan lanjut setiap PATI masih dijalankan dan kesemua yang ditahan turut menjalani pemeriksaan Covid-19," katanya.

Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 2:03pm
d