mutakhir

Penumpang dan kru feri patuh SOP [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LEBIH 600 penumpang feri yang melakukan perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi hari ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tinjauan mendapati semua penumpang memasuki pekarangan terminal feri itu memakai pelitup muka serta melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan menaiki feri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil pemantauan anggotanya termasuk dalam feri mendapati penumpang melakukan penjarakan sosial.

Beliau berkata, pematuhan SOP itu penting bagi memutuskan rantaian Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

"Penumpang dan kru feri digalakkan memakai penutup muka dan hidung kerana kita tidak tahu siapa di kalangan mereka yang membawa gejala Covid-19.

"Kita akan terus melakukan pemantauan dan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan lawatan di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan rondaan di kawasan terminal feri itu untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Sementara itu, penumpang feri, Mohd Haizal Haziman Hasbullah, 26, berkata, dia bersama keluarganya ke Langkawi untuk melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihan, Maisarah Mohd Ridzuan, 26.

Katanya, dia bersama keluarganya mengambil langkah berjaga-jaga memastikan mereka tidak dijangkiti wabak Covid-19.

"Sebelum ini terpaksa menukar tarikh akad nikah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana saya sebagai anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan.

"Saya dan pasangan dijangka bernikah pada 14 Jun ini tetapi terpaksa menempah hotel lebih awal dan hari ini orang pula ramai jadi kami terpaksa melakukan penjarakan sosial dan mengambil langkah berhati-hati," katanya.

Mohd Haizal Haziman berkata, walaupun kecewa tidak dapat melangsungkan majlis kenduri seperti dirancang namun dia berharap akad nikah berjalan lancar.

Kakitangan kerajaan, Abdullah Murad, 57, berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk memastikan SOP dipatuhi.

Katanya, dalam keadaan PKPP ini, orang ramai perlu mengikut apa disarankan kerajaan supaya semua bebas dari dijangkiti wabak ini.

Ketua Operasi Ferry Line Ventures Kuala Kedah Mohd Azizan Aziz berkata, perjalanan membabitkan dua trip iaitu jam 11 pagi dan 4 petang.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua penumpang mematuhi SOP termasuk melakukan penjarakan sosial, mengisi borang dan melakukan pemeriksaan suhu badan serta memakai cecair pembasmi kuman sebelum dibenarkan menaiki feri.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 2:14pm
d