mutakhir

Zoo Taiping dibuka Isnin ini

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ZOO TAIPING & Night Safari (Zoo Taiping) akan kembali dibuka kepada orang awam bermula Isnin ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pemberian diskaun 20 peratus kepada semua pengunjung diputuskan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang menaungi pengurusan zoo berkenaan sebagai insentif menarik lebih banyak kunjungan.

Katanya, pemberian diskaun bermula daripada hari pertama pembukaannya sehingga 15 Julai depan, selain mempunyai pindaan waktu tamat operasi harian susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sehingga 15 Julai depan, waktu tamat operasi harian adalah sejam lebih awal pada hari bekerja dan dua jam lebih awal pada hari cuti umum serta hujung minggu berbanding waktu biasa.

"Ia dibuka dari 8.30 pagi hingga 6 petang bagi kunjungan zoo serta 8 malam hingga 10 malam untuk Night Safari," kataya ketika membuat tinjauan di zoo berkenaan, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir.

Katanya lagi, pihaknya tidak menolak sekiranya MPT berkeinginan menawarkan pakej dan promosi lanjutan lebih baik sekiranya tawaran sedia ada itu mendapat sambutan dari pengunjung.

"Bagaimanapun perlu diingat bahawa pembukaan semula semua zoo di Malaysia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti menggalakkan pemakaian pelitup muka," katanya.

Sementara itu, Khairul Amir berkata, hanya 1,250 pelawat sahaja dibenarkan memasuki zoo berkenaan dalam satu-satu masa, dengan tempoh anggaran antara dua hingga tiga jam bagi satu kemasukan.

Katanya, persiapan sewajarnya sudah dilakukan bagi memastikan pematuhan SOP, antaranya laluan untuk saringan suhu badan serta pengambilan maklumat peribdadi pelawat, imbasan kod QR MySejahtera, penyediaan cecair sanitasi tangan, serta papan tanda tambahan.

"Pelawat dinasihatkan memakai pelitup muka sepanjang sesi melawat zoo, selain perlu menjaga penjarakkan sosial sperti yang digariskan oleh MKN," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 2:15pm
d