mutakhir

Lima remaja dituduh rogol gadis bawah umur

Oleh Amir Mamat

LIMA remaja lelaki termasuk tiga bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan merogol secara berkumpulan dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan 16 tahun, Mac lalu.

Tertuduh yang berusia antara 15 hingga 19 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dan meraba mangsa di sebuah rumah di Taman Seri Mas, Melaka Tengah antara jam 12.12 tengah malam hingga 7 pagi, 12 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, empat daripada tertuduh didakwa melakukan rogol mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, seorang tertuduh berusia 19 tahun didakwa melakukan persetubuhan ke atas mangsa sama di lokasi yang sama tanpa kerelaan mangsa, sembilan hari selepas kejadian pertama.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berusia 18 dan 19 tahun, manakala RM15,000 bagi setiap tertuduh di bawah umur dengan syarat tambahan semua mereka dilarang mengacau ganggu mangsa serta saksi selain lapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Cassian Anthony bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan rendah diberikan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh berusia 18 dan 19 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala tiga yang lain RM5,000 setiap seorang selain menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 4:19pm
d