mutakhir

Macau Scam kini hantar mesej ugut mangsa

Oleh Omar Ahmad

HANTAR mesej ugutan kepada mangsa berkaitan saman pemiutang.

Itu taktik atau modus operandi terkini digunakan sindiket Macau Scam bagi memperdaya mangsa berbanding kaedah sebelumnya menyamar sebagai pegawai kerajaan dipraktikkan mereka sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan mesej tersebut nama mangsa akan dipaparkan pada notis mahkamah dan diiklankan dalam akhbar bahasa Melayu selama lima hari.

"Kononnya waran tangkap juga akan dikeluarkan ke atas penama atau mangsa serta tindakan sita dan lelong harta sekiranya ingkar.

"Mangsa seterusnya diarahkan untuk menghubungi nombor telefon yang diberikan dalam mesej itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ayob Khan, setakat ini Polis Johor tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pengadu yang menjadi mangsa kepada taktik terbaru digunakan sindiket itu.

Katanya, tiada agensi kerajaan akan menghantar mesej berbaur ugutan kepada mana-mana individu dengan niat untuk menakutkan orang ramai.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak panik sekiranya menerima mesej itu.

"Abaikan mesej itu atau semak dengan agensi berkaitan bagi memastikan ketulenan mesej yang diterima," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:16pm
d