mutakhir

Permintaan sewa bot candat sotong meningkat

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PERMINTAAN terhadap perkhidmatan sewa bot untuk mencandat sotong meningkat mendadak selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai Rabu lalu.

Pemilik bot, Abdillah Abd Rashid, 56, dari Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus berkata, tempahan meningkat mendadak dan dua kali ganda sejak PKPP berkuat kuasa.

"Bagaimanapun saya belum membawa orang awam mencandat sotong kerana lesen dan permit masih belum diperoleh.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) mencandat sudah dimaklumkan pihak bertanggungjawab secara ringkas kepada pemilik bot dan nelayan.

"Ia termasuk penyediaan alat memeriksa suhu badan dan cecair pensanitasi tangan untuk kegunaan orang awam yang mencandat," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Bukit Tumbuh, hari ini.

Abdillah berkata, dia sudah menerima lebih 20 tempahan sewa bot untuk mencandat sotong di perairan Kuala Terengganu sejak PKPP.

Katanya, peminat aktiviti mencandat hanya menunggu kebenaran rasmi daripada kerajaan sahaja untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

"Semua peminat aktiviti itu sudah tidak sabar lagi untuk menjalankan aktiviti mencandat yang bermula April hingga Ogos.

"Kadar sewa bot untuk mencandat masih sama seperti tahun lalu iaitu RM1,000 untuk satu malam dan ia memuatkan lapan orang, jadi tiada masalah daripada segi penjarakan sosial," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:29pm
d