mutakhir

Alhamdulillah, dapat rumah baru...

Oleh Ramli Ibrahim

"ALHAMDULILLAH, kami dapat tinggal di rumah selesa, terima kasih anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM)," kata Nik Noor Saliza Nik Mohd Yusof.

Nik Noor Saliza, 31, bersama suami, Rohaizad Che Soh, 42, serta dua anak mereka sebelum ini terpaksa tinggal di rumah separuh siap dalam keadaan bumbung bocor sejak lebih lima tahun lalu.

Bagaimanapun, hari ini keluarga berkenaan dapat tinggal di rumah lebih selesa di Kampung Renok Baru, dekat Gua Musang, apabila gotong-royong membina kediaman berkenaan selesai.

Dia mengakui berdepan tekanan hidup dan masalah kewangan termasuk perbelanjaan persekolahan dua anaknya, Nur Aina Hasniza Mohd Afandi, 11, bersama Mohd Hairin Ramadan, 6.

"Saya tidak boleh melakukan sebarang kerja kerana kaki kanan dipotong berikutan penyakit kencing manis kritikal.

"Selepas kaki kanan dipotong, kaki kiri saya pula berkudis dan bengkak hingga saya hanya mampu mengengsot," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Nik Noor Saliza berkata, perbelanjaan hariannya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Katanya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh jalan raya di Seremban terpaksa berhenti kerja tiga tahun lalu kerana terpaksa menjaganya yang kerap sakit.

"Suami kemudian bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan, bolehlah untuk menampung perbelanjaan.

"Saya ditemani suami untuk menerima rawatan di hospital sama ada Hospital Gua Musang (HGM) atau Kuala Krai kerana kaki kiri pula bengkak.

"Rumah dibina semula secara gotong-royong itu hasil keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof," katanya.

Berita berkaitan

Biarpun kudung

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:44pm
d