mutakhir

Pohon bantuan polis surai jemaah solat Jumaat

Oleh Abdul Rahemang Taiming

MASJID Al-Khauthar Tawau (MAKT) di Tawau diserbu orang ramai yang ingin menunaikan solat Jumaat berikutan salah faham berkaitan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

Pengerusinya, Khalid Mohd Tahir berkata, orang ramai mula menyerbu kawasan masjid seawal jam 10.30 pagi walaupun waktu solat masuk pada 12.11 tengah hari selain pintu masjid masih ditutup untuk orang awam.

Katanya, berikutan situasi yang tidak terkawal itu, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan polis bagi menyuraikan orang ramai yang tidak mahu berganjak dan berkeras mahu menunaikan solat jumaat.

"Pelaksanaan solat Jumaat masih terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diputuskan Majlis Fatwa Negeri Sabah yang hanya membenarkan 40 orang jemaah sahaja menunaikan solat jumaat di dalam masjid.

"Pada hari ini, kami hanya menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Masjid, selain ketua-ketua jabatan dan orang awam terpilih sahaja," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu pengumuman Mufti Negeri Sabah berhubung keputusan jumlah jemaah yang dibenarkan dan ia (pengumuman) dijangka dibuat dalam masa terdekat.

"Sekiranya keputusan itu sama dengan keputusan yang dibuat di Wilayah Persekutuan iaitu membenarkan satu per tiga daripada kapasiti masjid, kami bersedia membenarkan orang awam solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar, minggu hadapan," katanya.

Khalid berkata, pihaknya akan menggunakan sistem pemberian nombor bagi memenuhkan ruang solat utama yang mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah dalam satu-satu masa.

"Ini antara persediaan awal pihak masjid bagi mengelakkan berlaku kekecohan selain memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:57pm
d