mutakhir

Empat nelayan tempatan dikhuatiri hilang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

EMPAT nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki karam di perairan berhampiran Pulau Kendi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, bot dinaiki mereka disyaki karam akibat dipukul ombak di kedudukan 14.3 batu nautika barat pulau berkenaan.

Pengarah Maritim Pulau Pinang Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari menyelamat (SAR) sejurus menerima maklumat.

Katanya, bot berkenaan dinaiki Beh Poh Keat, 49, bersama anaknya, Beh Jong Liang, 23, serta dua awak-awak yang belum dikenal pasti.

"Operasi SAR yang dikoordinasi oleh MRSC Langkawi turut dijalankan bersama pesawat udara, bot Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

"Turut membantu ialah lima bot nelayan dari kawasan Sungai Udang," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sehubungan itu, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:59pm
d