mutakhir

Ambik kau, nak sangat duduk penjara

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan kumpulan pecah kediaman dan curi kenderaan selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bukit Prima Pelangi di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 39 tahun giat melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah ini dan Shah Alam.

"Pada 8 Jun lalu, suspek memecah masuk sebuah rumah di Taman Sea di sini, sebelum melarikan Proton X70.

"Ketika melarikan kenderaan itu, suspek turut merempuh sekatan jalan raya di Shah Alam," katanya pada sidang media hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas Proton X70 dan Mercedes Benz C200 yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya serta Kepong.

"Peralatan pecah rumah seperti kekunci L turut dirampas," katanya.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, polis menahan lelaki berusia 45 tahun yang meragut seorang lelaki di Jalan SS2 semalam.

"Hasil tindakan pantas, kami dapat menahan suspek yang baru sahaja meragut seorang lelaki.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

tamat

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 6:37pm
d