mutakhir

Petronas tarik balik rayuan

Oleh Mohd Roji Kawi

PROSIDING di Mahkamah Rayuan pada 23 Jun ini hanyalah prosedur undang-undang bagi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini berhubung Cukai Jualan Negeri (SST).

Abang Johari berkata, Petronas sudah bersetuju untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat tiga bulan lalu yang memberi hak kepada Sarawak untuk memungut cukai penjualan produk petroleum atas arahan Kerajaan Persekutuan yang baru.

Beliau berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Petronas mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu, namun Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan Februari lalu, memutuskan rayuan itu tidak perlu.

"Jika anda ingin menarik balik sesuatu permohonan di mahkamah, ada prosedur yang harus diikuti.

"Ini bermakna, prosiding pada 23 Jun ini hanyalah pendengaran atau pengurusan kes untuk Petronas menarik balik rayuan yang dibuat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu, di Jalan Bako, di Petra Jaya, hari ini.

Abang Johari berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini, Petronas perlu membayar SST, namun apabila mereka mengemukakan rayuan, ia perlu melalui proses undang-undang lagi.

Hari ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Jun untuk mendengar rayuan Petronas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching tiga bulan lalu yang memberi hak kepada Sarawak untuk mengutip cukai penjualan produk petroleum.

Mengenai bila Sarawak sepatutnya menerima pembayaran SST daripada Petronas, Abang Johari berkata, ia akan dilaksanakan apabila selesai prosedur mahkamah.

"Berdasarkan penilaian pada 2019, SST yang perlu dibayar oleh Petronas dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 10:30pm
d