mutakhir

Dijemput ajal selepas 5 hari bertarung nyawa

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SEORANG wanita yang kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lembu melintas jalan di Batu 14, Jalan Ulu Sepetang-Redang Panjang di Taiping, Ahad lalu, meninggal dunia selepas lima hari bertarung nyawa.

Nur Sabrina Mat Rowi, 20, disahkan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Taiping, 1.15 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha ditunggang mangsa cuba mengelak seekor haiwan dipercayai lembu, namun gagal lalu melanggar haiwan itu.

"Seekor haiwan dipercayai lembu secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak haiwan itu lalu terbabas ke tepi jalan selepas melanggarnya.

"Mangsa yang parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia Jumaat lalu (semalam)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Changkat Perah, Taiping, dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Kamunting menghala Batu Kurau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 1:03am
d