mutakhir

'Kuarantin dalam bilik, bukan tengok TV bersama keluarga' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERINTAH kuarantin wajib di rumah bermaksud berada sendirian di dalam bilik bukan bersama keluarga, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, perintah kuarantin selama 14 hari itu dikeluarkan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19.

Katanya, individu yang ingkar proses berkenaan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

"Mereka sepatutnya berada di dalam bilik dan tidak boleh berlegar-legar dalam rumah takut menjangkiti orang lain di dalam rumah.

"Makanan pun diletakkan di luar pintu, ketuk pintu mereka ambil makanan selepas itu keluarkan makanan di luar pintu dan akan diambil orang lain.

"Jadi itu sebenarnya kuarantin di rumah bukan boleh duduk tengok TV di ruang tamu bersama keluarga," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, individu terbabit perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13 bagi memastikan mereka bebas jangkitan.

Katanya, walaupun peratusan mendapat keputusan positif pada hari berkenaan adalah kecil tetapi kemungkinan itu boleh berlaku.

Justeru, beliau berkata, individu yang dikenakan perintah kuarantin wajib itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan.

Untuk rekod, seramai 478 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, UAE, China, Bangladesh, Hong Kong, Mesir, India, Indonesia dan Brunei semalam.

Daripada jumlah itu, 475 individu diperintah menjalani kuarantin di kediaman mereka manakala tiga individu disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 3:18pm
    d