mutakhir

Enam jalan utama di Pulau Pinang bergerak lancar

Oleh Nur Izzati Mohamad

ALIRAN trafik di semua jalan utama di Pulau Pinang bergerak lancar dan terkawal hari ini walaupun banyak kenderaan.

Tinjauan di lebuh raya dan jalan utama mendapati kenderaan berpusu-pusu ke arah utara memandangkan cuti hari minggu dan pulang ke kampung susulan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, enam kawasan utama yang sebelum itu kerap berlaku kesesakan pada waktu puncak juga bergerak lancar.

"Melalui pemantauan di susur masuk dan keluar Jambatan Pulau Pinang kesesakan hanya sekitar 15 peratus.

"Di Plaza Tol Juru, Sungai Dua iaitu menghala arah utara dan selatan, susur Permatang Pauh dan Kampung Teluk Sungai Dua pula kesesakan hanya sekitar 25 peratus manakala di susur Auto City, Juru pula kesesakan sekitar 50 peratus.

"Berdasarkan pemantauan di keenam lokasi utama ini tidak berlaku kesesakan luar biasa dan trafik lancar walaupun terdapat pertambahan kenderaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemantauan itu diadakan pada jam 6 pagi hingga 2 petang dan seramai 30 anggota termasuk pegawai bertugas memantau keadaan trafik di negeri ini.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati memandu dan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 7:49pm
d