mutakhir

Selamat tinggal...jasamu wira tetap di hati kami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SEBAK dirasai petugas barisan hadapan sebaik membaca 'warkah perpisahan' diserahkan penghuni hotel sejurus semua mereka dibenarkan meninggalkan hotel dan pulang ke rumah masing-masing mulai kelmarin.

Ini susulan arahan kerajaan supaya semua hotel yang dijadikan pusat kuarantin dihentikan operasi secara rasmi manakala proses kuarantin Covid-19 boleh disambung di rumah.

Arahan itu sekaligus menamatkan tugasan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Rela di semua hotel itu sejak operasi dimulakan awal April lalu.

Ternyata pengorbanan petugas barisan hadapan yang menyelia semua pusat kuarantin ini mendapat sanjungan terutama oleh warga Malaysia yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebaik pulang dari luar negara.

Pegawai APM Putrajaya yang juga Ketua Penyelaras Stesen Kuarantin Putrajaya, Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soerharto berkata, terdapat tiga hotel yang dijadikan pusat kuarantin membabitkan Hotel Dorsett Putrajaya, Hotel Pulse Grande dan Hotel Everly di Putrajaya.

Menurutnya, semua stesen kuarantin itu turut diurus selia oleh Leftenan (PA) Mohd Ezwany Abdullah Sani dan Leftenan (PA) Amir Nizar Abd Rahman.

"Arahan penutupan itu adalah khabar gembira buat semua penghuni yang dikuarantin sebelum ini.

"Paling menyentuh perasaan apabila ada antara mereka menghantar kad ucapan perpisahan dengan mesej ` saya akan ingat jasa baik semua 'frontliner' yang melayan bermacam-macam ragam kami sepanjang 13 hari di sini'," katanya.

Terdapat juga kiriman nota mengandungi kata-kata penghargaan kepada petugas tanpa mengira bangsa dan agama.

"Ucapan penghargaan ini besar maknanya bagi kami yang bertugas sejak awal April lalu tanpa berganjak dari stesen kuarantin di hotel walaupun ketika hari raya Aidilfitri lalu.

"Suasana ketika mereka mendaftar keluar dari hotel cukup menyentuh perasaan. Ada yang sebak dan menangis. Malah ramai yang mengambil kesempatan merakam gambar kenang-kenangan bersama petugas lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE)," katanya,

Menurutnya, seramai 743 penghuni yang dikuarantin meninggalkan tiga hotel itu dengan diambil ahli keluarga atau kenderaan disediakan oleh petugas.

"Pengalaman menguruskan pusat kuarantin di hotel ini pastinya sesuatu yang sukar dilupakan dan tanggungjawab besar kami dalam memastikan pandemik Covid-19 dapat dibendung," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 9:43pm
d