mutakhir

Doakan rakyat Palestin dilindungi: Agong

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang kini terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menyokong pendirian berprinsip dan tidak berbelah Malaysia dalam mengecam dan menolak pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah-tanah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, seperti yang diumumkan oleh rejim Israel sebelum ini.

"Baginda juga menyokong usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang jelas menentang pelan rejim Israel tersebut.

"Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, untuk bersama Baginda mendoakan, mengikut pegangan kepercayaan masing-masing, agar rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan dari penjajahan dan penindasan rejim Israel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar masjid-masjid dan surau-surau dalam negara ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.

"Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman antara sesama manusia.

"Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah-wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis (East Jerusalem)," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 11:53am
d