mutakhir

'Runner' OKU gigih [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

KEKURANGAN fizikal tidak menjadi penghalang buat seorang pemuda bekerja sebagai penghantar makanan atau 'runner' demi mencari pendapatan sendiri seperti orang lain seusianya.

Mohamad Akromi Mohd Razali, 29, dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) tanpa kaki sehingga paras lutut di sebelah kiri dengan jari yang tidak sempurna pada tangan sebelah kanan, tidak kekok melakukan pekerjaanya selain ramah dengan pelanggan.

Dia yang berasal dari Kampung Parit, Selising, Pasir Puteh, sudah enam tahun menjadi penghantar makanan bermula ketika di berada di Shah Alam lagi, sebaik habis kontrak sebagai pengawal keselamatan.

"Kini, hampir tiga tahun saya menjadi 'runner' di kampung sambil menjaga ibu yang sudah berusia, Siti Rahimah Daud, 64, memandangkan adik beradik yang lain sudah berkeluarga.

"Biasanya saya kerja menghantar makanan bermula 8 pagi sehingga 5 petang, manakala pada sebelah malam, saya mengambil upah dengan membantu kawan berniaga burger atau nasi bungkus berdekatan rumah.

"Saya menunggang sendiri motosikal untuk menghantar barangan di sekitar Pasir Puteh, Bachok, dan Kota Bharu, namun jika lokasi penghantaran lebih jauh sehingga ke Rantau Panjang dan Pasir Mas, saya meminta bantuan adik beradik atau kawan yang memiliki kereta untuk membantu," katanya ketika ditemui semasa membuat penghantaran makanan di pekan Rantau Panjang, semalam.

Mohamad Akromi berkata, dia mengambil upah sekitar RM8 sehingga RM20 bergantung kepada jarak penghantaran selain membuat iklan khidmatnya itu melalui laman sosial Facebook, kumpulan Whatsapp serta hebahan daripada rakan-rakan.

Katanya, ramai antara pelanggan terutama yang pertama kali berjumpa terkejut dengan fizikalnya kerana risau dengan keupayaan dia untuk membawa barangan atau menunggang motosikal, namun sebaik diberitahu mereka meluahkan rasa bangga.

"Saya tidak mahu kekurangan fizikal ini menjadi alasan atau penghalang untuk saya tidak bekerja walaupun ada masanya terpaksa menahan sakit akibat geseran kaki palsu yang dipakai. Namun, selagi mampu, saya tetap berusaha sendiri bagi membuktikan OKU seperti saya juga mampu berdikari.

"Jika nak cakap tentang cabaran sepanjang bekerja sebagai Runner, memang banyak. Selain terpaksa, panas terik dan hujan lebat, saya juga pernah kemalangan sehingga menyebabkan lutut cedera teruk namun, Alhamdulillah kini sudah beransur pulih.

"Sebenarnya, saya memang seorang yang tidak boleh duduk diam, badan saya perlu sentiasa bekerja kerana ia bagaikan terapi untuk saya terus kekal cergas dan sihat. Jadi, jika ada masa terluang ada sahaja perkara yang ingin saya lakukan," katanya yang mempunyai impian untuk berniaga sendiri namun tidak memiliki modal yang cukup untuk memulakannya.

Dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 setiap bulan.

Tambahnya, dia juga seorang yang aktif bermain futsal dan badminton biarpun berkaki palsu dengan sebelah tangan yang tidak sempurna.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 12:03pm
d