mutakhir

Bina pagar elektrik tujuh kilometer halang gajah liar

Oleh Mohd Rafi Mamat

PAGAR elektrik sepanjang tujuh kilometer (km) akan dibina bagi menghalang 13 gajah liar daripada terus menceroboh Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana dan Muadzam Shah.

Pegawai Pejabat Pertanian Daerah Pekan, Abdul Halim Jamaludin berkata, pembinaan pagar elektrik itu sepatutnya sudah bermula dua bulan lalu namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kontraktor yang dilantik tidak dapat memulakan projek berkenaan.

Katanya, pagar elektrik dibina atas sempadan antara TKPM Kota Perdana dan TKPM Muadzam Shah dengan Hutan Simpan Ibam yang menjadi habitat semula jadi gajah.

"Saya percaya pembinaan pagar elektrik di bawah peruntukan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dapat menyelesaikan kemelut ancaman kumpulan gajah liar di dua TKPM itu yang berlaku sejak tujuh tahun lalu.

"Perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (Perhilitan) yang menyediakan beberapa cadangan turut diharap dapat digunakan oleh pekebun dalam memastikan haiwan liar terbabit tidak berminat menceroboh projek pertanian terbabit," katanya di Pekan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan kerugian RM18 juta yang ditanggung 43 pekebun nangka madu di TKPM Kota Perdana dan TKPM Muadzam Shah selepas kebun mereka diceroboh kumpulan 13 gajah liar sejak tujuh tahun lalu.

Kes terbaru serangan haiwan liar terbabit berlaku pada 25 Mac lalu yang menyebabkan 90 pokok nangka madu milik seorang pekebun musnah.

Abdul Halim berkata, pihaknya simpati dengan kerugian ditanggung pekebun dan usaha membantu mereka akan terus dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu menyekat kumpulan gajah liar daripada terus menceroboh dua TKPM itu.

Menurutnya, Perhilitan menasihatkan pihak berkenaan supaya memastikan pagar elektrik yang dibina mengikut spesifikasi terbaik seterusnya sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi tujuan pemantauan pembinaan.

"Pergerakan kumpulan gajah liar sukar dijangka terutama apabila berlaku perubahan habitatnya berikutan kesan aktiviti manusia yang pesat di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun kita akan terus berusaha membantu dalam memastikan pekebun tidak terus menerus berhadapan kerugian besar disebabkan ancaman kumpulan gajah ," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 12:06pm
d