mutakhir

Lagi pemandu mabuk ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TIGA pemandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Alkohol di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu berusia 26 hingga 45 tahun itu gagal ujian saringan pernafasan dilakukan polis ketika pemeriksaan dijalankan.

"Operasi yang bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu memeriksa 370 pengguna jalan raya membabitkan 355 kenderaan.

"Polis juga turut mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan trafik dilakukan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejak Op Alkohol dijalankan bermula pada 27 Mei lalu, seramai 33 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunan kesalahan berkenaan.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 1:54pm
d