mutakhir

Gua Musang sifar kemalangan maut

Oleh Ramli Ibrahim

RAHMAT disebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tiga bulan lalu, menjadikan Gua Musang sifar kemalangan maut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ia adalah sejarah bagi daerah itu yang tidak berdepan kemalangan maut.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos juga merekodkan jumlah sifar.

"Walaupun jalan utama melalui bandar ini kembali sibuk dengan kenderaan selepas kebenaran rentas negeri, namun sikap pemandu lebih utamakan.

"Kita mahu semua mereka termasuk perantau yang pulang samada yang baru pulang kampung dan sebaliknya mematuhi peraturan jalan raya. Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Kuala Krai terdapat beberapa lokasi bahaya dan kerap berlaku kemalangan sebelum ini," katanya hari ini.

Mohd Taufik berkata kenderaan yang melalui Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur meningkat 30 peratus daripada hari biasa hari ini.

"Kebanyakan mereka yang pulang semula ke Kuala Lumpur untuk memulakan kerja esok selepas pulang ke kampung Rabu lalu. Kita mendoakan mereka memandu dalam keadaan selamat menuju ke destinasi," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 2:20pm
d