mutakhir

Sepang kini zon kuning

Oleh Norzamira Che Noh

DAERAH Sepang kini berada di zon kuning selepas hampir dua minggu berada di zon merah susulan peningkatan kes mendadak di mukim Labu pada 31 Mei lalu.

Daerah itu merekodkan 37 kes positif semalam berbanding 68 kes positif kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, penurunan kes itu adalah berita baik untuk penduduk Labu.

"Berita baik buat warga mukim Labu yang mana kes discaj yang tinggi menjadikan kawasan anda zon kuning pada hari ini (semalam).

"Daerah Sepang juga bertambah baik dan sudah keluar dari zon merah untuk berada dalam zon kuning. Syabas Selangor!

"Pastikan warga Selangor sentiasa mengamalkan normal baharu supaya rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan. Jadikan Selangor bebas Covid-19," katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Facebook, Selangor merekodkan pertambahan tujuh kes baharu semalam iaitu empat kes tempatan dan tiga kes luar negara.

Sebanyak 41 kes dibenarkan keluar dan satu kes kematian direkodkan semalam.

"Dua kes tempatan baharu direkodkan di mukim Pasir Panjang, Sabak Bernam (saringan petugas barisan hadapan bukan kesihatan), satu kes masing-masing di Rawang dan Kajang membabitkan saringan pusat Tahfiz," katanya.

Terkini, hanya daerah Hulu Langat yang masih berada dalam zon merah dengan 62 kes aktif di lima mukim iaitu Semenyih (46), Kajang (10), Hulu Langat (bukan daerah) (3), Cheras (1) dan Ampang (2).

Tujuh daerah lain masih kekal di zon kuning, bagaimanapun terus menunjukkan penurunan kes positif iaitu Petaling (7), Gombak (13), Kuala Langat (11), Hulu Selangor (2), Klang (1), Kuala Selangor (4) dan Sabak Bernam (3).

Sehingga kini, Selangor merekodkan 1,994 kes secara keseluruhan, manakala 1,716 kes sembuh; 140 kes aktif dan 24 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 2:24pm
    d