mutakhir

30,968 peneroka disasar sertai PPP Felda [METROTV]

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KERAJAAN menyasarkan 30,968 peneroka terbabit secara langsung dalam Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda menjelang akhir tahun ini.

Projek perintis PPP sudah bermula di Felda Bukit Rokan, dekat Tampin, akhir tahun lalu membabitkan 200 peneroka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi ) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek PPP yang diusahakan ialah tanaman cili, sayuran, cendawan tiram dan ternakan arnab.

Katanya, fasa satu projek perintis di Felda Bukit Rokan sudah bermula 65 peratus di kawasan seluas 30 hektar.

"Jika berjaya PPP akan diperluaskan ke tanah rancangan Felda lain di seluruh negara membabitkan 11 Wilayah Felda.

"Ternakan arnab misalnya berpotensi untuk dimajukan secara besar-besaran berikutan mempunyai permintaan tinggi dan ia boleh dilaksanakan dalam PPP," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Felda Bukit Rokan, hari ini.

Hadir sama Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil.

Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta setahun dengan projek dijangka dilaksana dalam tempoh empat tahun.

Katanya, Koperasi Permodalan Felda KPF) berperanan dalam membantu memasarkan hasil yang diusahakan peneroka dalam projek PPP ini.

"Menerusi PPP golongan peneroka mampu mempertingkatkan taraf kehidupan serta berupaya mencipta rangkaian ekonomi negara," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 2:56pm
d