mutakhir

Jangan ambil mudah, operasi ingkar PKPP diperhebatkan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI enam individu ditahan polis kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 13 individu lagi turut dikompaun atas pelbagai kesalahan dan ingkar arahan PKPP.

"Pasukan petugas khas pematuhan PKPP membuat 69,608 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Sebanyak 3,783 Pasukan Pematuhan membuat pemantauan membabitkan 17,832 anggota," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, polis menerusi pasukan khas operasi pematuhan membuat 69,608 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Aliran trafik di lebuh raya utama dan jalan utama di seluruh negara masih lancar dan tiada kesesakan luar biasa walaupun terdapat peningkatan pergerakan kenderaan di lebuh raya utama.

"Semalam saya sendiri pulang ke Bera, Pahang dan mendapati trafik lancar, saya juga membuat tinjauan di Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan lihat keadaan teratur... tiada kesesakan berlaku," katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah pergerakan pulang orang ramai dari kampung ke ibu kota pada hari ini.

"Saya bimbang sedikit hari ini, orang mula balik dari kampung untuk mula berkerja esok dan saya ingatkan supaya mereka mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 3:37pm
d