mutakhir

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan terkawal dan lancar setakat jam 4 petang ini selepas rakyat dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (Plus), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, aliran trafik masih lancar dan tiada berlaku kesesakan luar biasa.

Menurutnya, aliran trafik juga menunjukkan berlaku sedikit penurunan semalam berbanding sehari sebelumnya.

"Keadaan ini berlaku kemungkinan disebabkan orang ramai masih berhati-hati untuk keluar atau pulang ke kampung tambahan Syawal masih boleh disambut seminggu lagi.

"Mungkin apabila mereka menerima gaji nanti akan berlaku peningkatan trafik tetapi setakat hari ini ia masih lancar," katanya.

Mohd Yusuf berkata, pihaknya juga menerima maklum balas dan pujian daripada pengguna lebuh raya yang berpuas hati dengan khidmat disediakan Plus.

"Rata-rata mereka sedia bekerjasama dengan kita dan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, selain itu orang ramai yang singgah di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) untuk menunaikan solat juga diminta membawa sejadah dan telekung sendiri.

"Kita memang sudah tidak menyediakan sejadah dan telekung di dalam surau bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19," katanya.

Terdahulu wartawan membuat tinjauan aliran trafik di Pusat Kawalan Trafik Plus, di sini, di mana mendapati aliran trafik di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara Selatan lancar.

Bagi mengikuti perkembangan terkini di lebuh raya Plus, pelanggan disaran supaya memuat turun Aplikasi Plus atau melayari laman web Plus di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 4:28pm
d