mutakhir

KDN cadang seragamkan dokumen warga asing di Sabah

Oleh Rafiqah Dahali

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bercadang menyeragamkan dokumen pengenalan diri warga asing di Sabah sebagai langkah mengenal pasti dan mengurus lambakan pendatang tanpa izin (Pati) di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini terlalu banyak dokumen pengenalan diri diberikan kepada warga asing di Sabah sehingga menyukarkan usaha menjejak Pati.

Katanya, terlalu banyak dokumen pengenalan diri warga Asing di Sabah, antaranya HIF22, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, justeru ia perlu diperbetulkan supaya hanya tinggal satu dokumen sahaja digunakan dan selebihnya itu dibatalkan.

"Ini adalah strategi bagi memastikan mereka yang diberikan kad IMM13 untuk kita membuat regularisasi supaya kita tahu mereka adalah pendatang asing.

"Jadi kita boleh menghubungi kedutaan negara yang terbabit untuk maklumkan agar mereka diberikan dokumen sah, jika mereka ada dokumen, mereka boleh berada di negara kita bertaraf sebagai warganegara asing," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media selepas taklimat dalam lawatan beliau Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu.

Beliau berkata, ketika ini seramai 136,000 warga asing yang mempunyai dokumen sah di Sabah.

"Ada yang pakai dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung. Bagi mereka yang ada pasport kita tentukan mereka duduk di sini sebagai warga asing.

"Kita akan selesaikan masalah ini terlebih dahulu dan kemudian ambil langkah seterusnya atau strategi kedua memastikan kita dapat seimbangkan dengan mereka yang mempunyai dokumen sah," katanya.

Hamzah berkata, pihaknya juga merancang untuk berbincang dengan kerajaan Sabah mengenai isu Pati ini selepas mendapat maklumat tepat berkaitan.

"Lebih baik kalau kerajaan Sabah mahu berbincang dengan saya di peringkat Kerajaan Persekutuan dan itulah yang saya hendak lakukan sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 4:46pm
d