mutakhir

Lima pemandu disyaki mabuk ditahan

Oleh Juwan Riduan

SERAMAI lima pemandu mabuk ditahan manakala 26 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang Op Mabuk di Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, sekatan jalan dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan adalah kesinambungan Op Mabuk yang diadakan sebelum ini.

Katanya, ia bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.

"Sebanyak 26 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala seramai lima pemandu lelaki ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang untuk siasatan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, jika sabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 5:48pm
d